Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) hari ini
mengumumkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada
harga RM6,700, berkuatkuasa serta merta.
Struktur kos baharu itu
tidak termasuk tambahan RM1,800 sebagai pinjaman kepada pembantu rumah
untuk berkongsi yuran Penempatan Tenaga Kerja Indonesia Sektor Domestik
di Indonesia.
"Kos sebenar majikan hanya RM6,700. Struktur kos
itu dicapai selepas rundingan berpanjangan dengan rakan kami, Asosiasi
Perusahaan Jasa Tenaga kerja Indonesia (APJATI) sejak beberapa bulan
kebelakangan ini," kata Presiden PAPA, Jefrrey Foo pada sidang media di
Kuala Lumpur, semalam.
Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU)
sebelum ini antara kerajaan Indonesia dan Malaysia, bayaran kepada
agensi pembantu rumah asing Indonesia ditetapkan sebanyak RM4,511 iaitu
RM2,711 dibayar oleh majikan dan RM1,800 oleh pembantu rumah berkenaan.
Foo memperjelaskan struktur kos baharu sebanyak RM6,700 itu adalah munasabah selaras dengan permintaan dan bekalan pasaran.
Beliau meramalkan bahawa struktur kos baharu itu boleh menarik lebih 10,000 pembantu rumah Indonesia ke Malaysia.
Beliau juga percaya cadangan yuran baharu itu akan diterima oleh kerajaan kedua-dua negara itu.
"Kami
mengakui dan menghargai niat baik Kementerian Sumber Manusia dalam
membenarkan PAPA mencadangkan dan mematuhi struktur harga yang adil,"
katanya.
Foo berkata proses pengambilan pembantu rumah Indonesia
melalui anggota persatuan itu akan dilakukan mengikut prosedur yang
betul dan di kawal selia.
"Kami akan melibatkan rakan kami di
Indonesia (APJATI) dalam mengenal pasti calon-calon yang sesuai yang
akan direkrut dan dilatih. Kami menjangka sambutan yang baik daripada
mereka dalam beberapa bulan akan datang," katanya.
Sementara itu,
Foo berkata APJATI akan membuka sebuah pejabat perwakilan asing di
Malaysia bulan depan bagi memantau kebajikan dan keselamatan pekerja
mereka di negara ini.- Malaysiakini
No comments:
Post a Comment