Tuesday, 4 December 2012

Kenapa saya bukan Komunis part 1

Komunisme adalah ideologi politik dan struktur sosio ekonomi yang menggalakkan penubuhan masyarakat yang egalitarian, tanpa kelas, dan tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta secara umumnya. Karl Marx menganjurkan komunisme sebagai peringkat akhir dalam masyarakat manusia, yang boleh dicapai melalui revolusi golongan proletariat.

"Komunisme tulen" menurut Marx merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Karl Marx, Pengasas Komunisme.  Sebagai ideologi politik, komunisme dianggap sebagai satu cabang sosialisme; satu falsafah luas berkenaan ekonomi dan politik yang dipengaruhi oleh pelbagai gerakan politik dan intelektual dengan asalnya dari hasil kerja mereka pada Revolusi Perindustrian dan Revolusi Perancis. Komunisme cuba untuk memberi satu alternatif kepada masalah dalam ekonomi pasaran kapitalisme dan warisan penjajahan dan nasionalisme.

 Marx menyatakan hanya satu jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini adalah bagi golongan pekerja (proletariat), yang menurut Marx adalah pengeluar utama kekayaan dalam masyarakat yang dieksploitasi oleh kelas kapitalis (borjuis), menolak golongan borjuis ini daripada kelas pemerintah bagi menubuhkan masyarakat bebas tanpa pembahagian kelas dan kaum. Komunisme wikipedia
------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 Jika ditanyakan satu perkataan dalam negara kita ini yang paling tidak difahami, selalu disalahertikan dan sering disongsangkan maknanya; maka saya akan menjawab, communist atau komunis.

Satu ketika dahulu, Wilfred Burchett, seorang wartawan Australia, telah dituduh sebagai komunis oleh kerajaan konservatif Australia. Hak kerakyatannya dirampas. Beliau kemudian diberi suaka politik oleh Republik Rakyat Vietnam.

Sebagai wartawan, beliau terus menulis dan memimpin The Guardian Weekly yang diterbitkan di Amerika. Mingguan bebas ini telah menjadi bahan wajib untuk sesiapa saja yang prihatin terhadap perang Vietnam pada 1960-an hingga 1970-an. Anak muda dan siswa dari Melbourne, London, Paris hingga ke Berkeley - semuanya akan cuba membaca akhbar berhaluan kiri ini.

Apabila kerakyatannya dirampas Burchett telah ditanya oleh seorang wartawan: 'Are you a communist?' Tanpa berfikir banyak beliau menjawab 'I am an Australian, mate.'

Ini berlaku dalam suasana Perang Dingin, apabila pertempuran ideologi antara kapitalisme dan sosialisme sedang hebat berjalan. Amerika Syarikat yang mewakili kepentingan kaum pemodal antarabangsa sedang mengancam negara-negara Dunia Ketiga yang baru merdeka atau sedang berjuang menuntut kemerdekaan.

Negara-negara Dunia Ketiga pula dibantu oleh blok Soviet dan China yang menyokong hak rakyat tanah jajahan untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Dalam suasana siasah inilah munculnya kesongsangan takrifan makna perkataan komunis itu di dalam negara kita.

Perkataan communist atau komunis berasal dari perkataan Perancis commune. Perkataan ini membawa makna daerah tempat tinggal satu kumpulan manusia. Jika ditukarkan ke bahasa Melayu, istilah itu bermakna mukim atau kampung. Semua warganegara Belgium, Perancis dan Switzerland tinggal dalam sebuah commune yang kemudian menjadi daerah dan akhirnya negara.

Apabila mula sampai ke Belgium, saya tinggal dalam commune Braine-le-Comte. Ini bukan bermakna saya menjadi komunis Braine-le-Comte. Apa yang terjadi ialah saya menjadi sebahagian komuniti dan masyarakat di commune ini.

Makna songsang

Perkataan commune membawa konsep komuniti dan komunikasi - perhubungan sesama insan - secara luas membawa konsep kemasyarakatan. Makna komunis seperti ini sengaja disongsangkan oleh penjajah Inggeris dan diterus digunakan oleh Umno hingga ke hari ini. Inggeris menyongsangkan makna komunis ini untuk terus menjajah Tanah Melayu. Mereka sedar bahawa satu-satunya kuasa yang boleh menumpaskan kuasa penjajah dan imperialis Inggeris di Tanah Melayu ialah kekuatan politik dan ideologi Parti Komunis Malaya.

PKM memang mengangkat senjata untuk membebaskan negara ini daripada terus menjadi tanah jajahan Inggeris. Mereka memang menembak mati musuh mereka - kapitalis dan pemodal - yang menjajah dan memunggah harta kekayaan negara kita. Mereka menjalankan taktik revolusi bersenjata untuk mempertahankan diri dan melawan kekuatan tentera Inggeris dan tentera negara-negara Komanwel.

Bagaimanapun harus disedari bukan semua pejuang dalam PKM itu insan komunis. Dan bukan semua yang mengangkat senjata itu ahli Parti Komunis Malaya. Mereka sebaris bersatu berjuang kerana ingin membebaskan Tanah Melayu.

Penjajah Inggeris yang terdesak telah menjalankan perang saraf yang licik untuk menggambarkan bahawa komunis itu jahat dan ganas, pembunuh dan bandit. Kepada mereka yang mempunyai pegangan agama, komunis ditohmahkan anti-Tuhan dan tidak mempercayai agama.

Hingga ke hari ini, saya lihat takrifan ini masih digunakan oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional. Momokan komunis terus digunakan untuk menfitnah musuh-musuh politik Umno.

Kerana Perang Dingin telah selesai, maka menjadi kewajiban intelek saya untuk menerangkan kepada orang ramai apakah sebenarnya insan yang dipanggil komunis. Telah sampai masanya momok komunis itu dihapuskan. Kita sebagai rakyat tidak perlu lagi takut kepada perkataan komunis itu atau mudah ditakut-takutkan dengan momok komunis.

P/S:artikel ni belum habis lagi tunggu sambungan kedua



Penulis adalah Hishamuddin Rais (juga dikenali dengan nama Isham) merupakan seorang aktivis politik yang terkenal di Malaysia.Dilahirkan pada 3 Februari, 1951 di Jemapoh, Kuala Pilah , Negeri Sembilan.Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada tahun 1974. Hisham aktif mmemperjuangkan isu-isu rakyat dalam arus kebangkitan pelajar.




No comments:

Post a Comment