Thursday, 6 December 2012

Kenapa saya bukan Komunis part 2

Artikel ini merupakan sambungan daripada bahagian pertama.Semoga kita faham dan tidak diperbodohkan oleh orang lain.Bagi yang ingin membaca bahagian pertama,boleh rujuk sini
 --------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bagi saya, seorang komunis itu adalah insan yang tinggi inteleknya, luas pembacaan dan luas bidang pemikirannya. Insan komunis adalah seorang internasionalis - berjuang bukan untuk bangsa tetapi untuk seluruh kemanusiaan. Insan komunis menolak kotak-kotak kecil yang memisahkan sesama manusia. Secara tidak sengaja dia dilahirkan di Tanah Melayu, maka kancah perjuangannya di bumi Melayu ini. Jika dia dilahirkan di Berlin maka di Berlin pula dia akan berjuang.

Insan komunis tidak mempunyai sikap dan nilai perkauman. Jika dia seorang lelaki dia akan menghormati wanita bukan sebagai objek seks tetapi sebagai manusia. Insan komunis adalah seorang feminis dan tidak sexist nilai hidupnya. Komunis tidak mempunyai nilai prasangka tanpa penelitian yang rapi. Seorang komunis menghormati budaya-budaya dan cara hidup insan lain.

'Tiga Abdul' bukan komunis

Insan komunis akan melangkah satu kilometer ke hadapan untuk melakukan kebaikan. Insan komunis tidak pernah berundur daripada berfikir, menulis dan bercakap tentang kebenaran. Insan komunis menghormati kepercayaan mereka yang beragama dan juga menghormati kepercayaan mereka yang tidak beragama.

Insan komunis mungkin beragama dan mungkin tidak beragama. Seorang komunis adalah intelek tulen yang mengabadikan hidupnya kepada kebenaran.

Pernah pada tahun 1977, saya ditanya oleh seorang anggota Parti Buruh di Australia, apakah 'Tiga Abdul' yang ditahan di bawah akta ISA itu orang-orang komunis. Jawapan saya cukup senang. Mereka bukan komunis kerana mereka tidak mempunyai nilai-nilai yang setaraf dengan nilai insan komunis. Adalah satu komedi absurd jika 'Tiga Abdul' ini diangkat ke taraf komunis.

Baru-baru ini Siqiu yang membuat rayuan pilihanraya untuk masyarakat Tionghua telah dituduh sebagai komunis. Tuduhan ini adalah salah dan tidak betul. Telah amat jelas bahawa Suqiu bukan komunis - mereka tidak mempunyai nilai-nilai komunis yang unggul, suci dan bersih. Mereka bukan mewakili golongan tertindas - mereka mewakili golongan pemodal pertengahan bangsa Cina. Berdolak-dalik bukan sifat insan komunis. Insan komunis pendiriannya teguh dan tidak pernah bergoncang. Datanglah apa saja, termasuk tali gantung - insan komunis tidak pernah mengundur.

Saya juga selalu ditohmah sebagai seorang sosialis dan komunis. Saya rasa ini adalah satu penghormatan yang terlalu tinggi untuk diri saya. Saya tidak sanggup menerima penghormatan ini. Saya terpaksa menolak kerana saya tidak mempunyai kualiti dan nilai-nilai hidup seorang insan komunis.

Menuduh saya sorang komunis samalah seperti mengangkat martabat saya ke satu tahap insan yang begitu suci.

Seminggu sebelum saya meninggalkan kota London setelah 20 tahun tidak pulang ke Malaysia, saya telah ditanya oleh seorang wartawan wanita Malaysia di kota itu - apakah saya seorang komunis?

Lalu saya menjawab 'saya bukan komunis - saya daripada suku Biduanda dari Jelebu, Negeri Sembilan'.



Penulis adalah Hishamuddin Rais (juga dikenali dengan nama Isham) merupakan seorang aktivis politik yang terkenal di Malaysia.Dilahirkan pada 3 Februari, 1951 di Jemapoh, Kuala Pilah , Negeri Sembilan.Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada tahun 1974. Hisham aktif mmemperjuangkan isu-isu rakyat dalam arus kebangkitan pelajar.

No comments:

Post a Comment